Pecat Waytha: Hak mereka tuntut, hak kita tentukan, kata Mahathir
Dr Mahathir Mohamad berkata mana-mana pihak boleh menuntut untuk melucutkan jawatan sebarang menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi hanya beliau selaku perdana menteri yang berhak untuk menentukannya.
“Itu hak mereka, hak kita (pula) menentukan,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.
Dr Mahathir diminta mengulas desakan demi desakan pelbagai pihak yang menuntut supaya P Waythamoorthy dipecat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Gerakan Pengundi Sedar (GPS) baru-baru ini melancarkan petisyen tandatangan di atas talian Change.org yang mahu Waythamoorthy dipecat atas beberapa faktor, antaranya kerana didakwa memburukkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Ini berdasarkan susulan rakaman video dan kenyataannya sebagai pengerusi Hindraf lebih sedekad lalu yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap etnik minoriti, terutamanya kaum India.
Selain itu, Waythamoorthy dikatakan mencetuskan tindak balas kerana pendiriannya mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

