Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Beberapa kedai di One City tutup awal
Diterbitkan:  Nov 28, 2018 10:35 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

Beberapa kedai yang terletak di Kompleks One City di Subang Jaya, menutup premis lebih awal susulan kejadian kekecohan yang berlaku di pusat membeli belah itu awal pagi semalam.

Kompleks itu terletak kira-kira satu kilometer dari Kuil Sri Maha Mariamman, Putra Heights di Subang Jaya, yang terlibat dalam insiden rusuhan pada awal pagi Isnin.

Seorang pekerja lelaki kedai kopi ketika ditemui Bernama berkata selepas insiden kumpulan perusuh memecahkan cermin premis berkenaan, pihak pengurusannya telah mengarahkan supaya operasi perniagaan ditamatkan lebih awal atas faktor keselamatan.

"Kebiasaannya perniagaan beroperasi sehingga 11 malam namun kami mendapat arahan untuk menutup kedai pukul 6 petang hari ini dan semalam. Sampai bila kena tutup awal saya tidak pasti. Difahamkan mungkin sampai Jumaat.

"Pekerja wanita pun tidak dibenarkan menjaga bahagian kaunter sebab semasa malam beberapa jam sebelum kejadian itu mereka menjadi takut apabila melihat sekumpulan besar lelaki bermotor melalui hadapan kedai dalam keadaan mencurigakan," katanya.

Seorang pekerja wanita sebuah kedai serbaneka 24 jam pula berkata pihaknya menerima arahan untuk menutup premis lebih awal iaitu pukul lapan malam sejak semalam.

Katanya, ini merupakan kali pertama outlet itu ditutup awal sejak memulakan operasi di pusat membeli belah yang mempunyai dua blok itu.

Seorang lagi petugas wanita di Kompleks One City berkata, ekoran kekecohan yang berlaku awal pagi semalam, pihak pengurusan memutuskan untuk menutup keseluruhan operasi premis itu pada hari yang sama.

"Hari ini bagaimanapun kompleks ini beroperasi seperti biasa namun ada beberapa pejabat yang terletak di dalam premis ini masih ditutup.

"Macam hari ini saya minta untuk balik awal sebab saya bimbang keselamatan diri berikutan laluan ke kompleks One City ini hanya ada satu akses sahaja," katanya.

Pekerja kaunter wanita di sebuah restoran 24 jam yang beroperasi di blok kedua juga memberitahu restoran itu ditutup lebih awal semalam, namun hari ini beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun sehingga pukul 7.30 malam, tinjauan mendapati keadaan di sekitar kompleks itu tenang dan terkawal malah tiada anasir mencurigakan kelihatan di situ.

Tujuh trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan kekuatan 60 anggota serta pegawai masih berkawal untuk tempoh 24 jam.

Kejadian rusuhan yang berlaku awal pagi Isnin dan Selasa menyaksikan seorang anggota bomba mengalami cedera parah selain perusuh turut membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City.

Sehingga hari ini polis menahan 30 individu bagi membantu siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS