Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Perak V. Sivakumar hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan adanya usaha menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sivakumar yang juga Anggota Parlimen Batu Gajah, berkata beliau membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi tengah hari tadi bagi meminta siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan, sekali gus memastikan usaha menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang sekali lagi di Perak.

"Terdapat kenyataan media bekas Menteri Besar Perak Zamry Abdul Kadir, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad tentang adanya usaha tertentu menjatuhkan kerajaan negeri, yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi.

"Saarani dakwa ada Exco kerajaan negeri mahu menjatuhkan MB Perak dengan hubungi sekurang-kurang lima orang adun Umno dengan pelbagai tawaran bagi menyokong usul undi tak percaya terhadap Faizal," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Sivakumar

Semalam, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mengesahkan wujud konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan Ahmad Faizal, berdasarkan pendedahan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi.

Asmuni mendakwa terdapat pemimpin Umno Perak menawarkan beliau jawatan menteri besar selain dipelawa meninggalkan PH bagi membentuk kerajaan baru.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata sejak dua hari lepas isu itu menjadi perbualan hangat bukan hanya dalam kalangan ahli politik tetapi juga rakyat Perak.

"Kami terima banyak panggilan daripada rakyat biasa nak tahu apa sedang berlaku di Perak. Kami mahu tahu kebenaran jadi satu keperluan untuk siasat sepenuhnya, kita tak mahu isu ini berpanjangan dan mengelirukan rakyat," katanya.

Sebelum ini, Saarani dilaporkan mendakwa beberapa Exco Perak mahu menjatuhkan Ahmad Faizal dan mereka sudah menghubungi sekurang-kurangnya lima adun Umno dengan pelbagai tawaran supaya membantu usaha mereka dan menyokong usul undi tidak percaya terhadap menteri besar pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

-Bernama