Perkahwinan kanak-kanak bawah umur merupakan antara sebab keciciran murid di sekolah rendah, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Dewan Rakyat hari ini.

Sebab lain yang dinyatakan Maszlee ialah kemiskinan, sikap tidak minat belajar murid, sikap ibu-bapa yang tak ambil berat, sakit yang melibatkan kecacatan dan masalah sosial.

Bagaimanapun, Maszlee menjelaskan bahawa peratus keciciran murid di sekolah rendah turun dari 0.34 peratus (pada 2014) kepada 0.29 (pada 2017).

Dalam sesi soal jawab parlimen itu juga, Maszlee berkata kementeriannya menyasarkan penurunan peratus keciciran murid kepada 0.27 peratus Pada 2019.

Pada 1 Jun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan garis panduan bagi membantu sekolah mengenal pasti murid yang mempunyai risiko keciciran.

Dilaporkan, kira-kira 82,000 perkahwinan kanak-kanak direkodkan di Malaysia sehingga 2010.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan menaikkan umur minimum berkahwin kepada 18 tahun.

Jelas Maszlee, kementeriannya sudah memulakan program bagi menyasarkan keciciran sifar sebagai pendekatan yang diserap dalam pelbagai agensi kerajaan bagi menangani isu berkenaan.

"Jabatan Pendaftaran Negara dan jabatan pendidikan peringkat daerah diminta mengenal pasti tokoh dari istana, industri, kerajaan dan perwakilan, bagi menarik perhatian masyarakat untuk bersama-sama menangani isu keciciran," katanya.

[Baca berita asal]