‘Beli lampu picit buat anggota polis’
Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin yang hairan dengan siasatan polis yang masih gagal mengenal-pasti kumpulan perusuh yang membelasah seorang anggota Bomba dan Penyelamat di Subang Jaya sehingga parah, secara sinis mencadangkan penggunaan lampu picit.
Merujuk kepada kejadian di mana Muhammad Adib Mohd Kassim diserang dan dibelasah semasa cuba membantu memadamkan kebakaran pada awal pagi Selasa lalu, Kadir yang menulis atas kapasiti peribadi berkata, anehnya, sehingga hari ini tidak seorang pun perusuh ditahan.
“Minta maaf banyak-banyak kalau saya kata, susah sikitlah nak faham macam mana begitu ramai anggota polis dengan peralatan canggih dan diuar-uarkan sebagai terbaik di dunia tak nampak seorang pun daripada begitu ramai orang yang berada di tempat kejadian melakukan apa-apa kesalahan.
“Takkanlah bila begitu banyak kenderaan bermotor dibakar masih gelap lagi?” soalnya melalu tulisannya di blog yang bertajuk “Polis Kena Berlaku Adil dan Profesional” hari ini.
Menceritakan pengalamannya semasa zaman kanak-kanak dan remaja pada tahun 1950an dan 60an, penasihat media dan komunikasi pejabat perdana menteri itu berkata, polis ketika itu membawa senjata api, cota dan lampu suluh (torchlight) enam bateri.
“Masa itu belum ada elektrik dan kereta pun tak banyak untuk dibakar. Kalau ada yang dibakar, itu perbuatan pengganas komunis.
“Jadi, kalau betullah polis abad ke-21 ini tak nampak perusuh kerana gelap, saya cadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri agar mohon peruntukan luar jangkaan daripada kementerian kewangan untuk beli lampu picit buat anggota PDRM,” katanya.
Adib kini dilaporkan masih kritikal dan telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), sejak semalam.
Mengulas lanjut, Kadir berkata, polis juga lazimnya, membawa kamera dan perakam video apabila membuat liputan perhimpunan umum dan tunjuk perasaan.
Jadi dengan segala kelengkapan canggih dan pengalaman yang luas mengawal tunjuk perasaan dan rusuhan, katanya, beliau sangat hairan apabila dimaklumkan bahawa polis tidak nampak penyerang Adib.
Isu pemindahan kuil itu telah mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat berkenaan pada awal pagi Isnin dan Selasa, yang menyaksikan Adib cedera parah selain perusuh turut membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City yang terletak satu kilometer dari kuil tersebut.
Sehingga hari ini polis menahan 30 individu bagi membantu siasatan.

