Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

DUN SELANGOR | Kerajaan Selangor bercadang mengutip caj 20 sen yang dikenakan kepada orang ramai bagi setiap beg plastik daripada setiap premis perniagaan di negeri itu bermula tahun depan.

Bercakap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian, berkata kutipan itu akan dilakukan oleh pihak berkuasa Tempatan (PBT).

"Kutipan ini akan dilaksanakan melalui PBT mulai tahun depan.

"Kutipan ini juga akan disalurkan ke akaun tabung amanah bagi kegunaan kempen kesedaran akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan penggulungan Belanjawan Selangor 2019, di Shah Alam.

Selangor mula melaksanakan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan, pada setiap Sabtu.

Kempen itu kemudian dilanjutkan kepada setiap hari mulai 1 Januari 2017 dan turut merangkumi kempen bebas bekas makanan polistirena.

Mengulas lanjut, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu berkata, kempen bebas plastik yang dijalankan oleh Selangor mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk peniaga, pasa raya, peruncit dan penduduk Selangor.

“Kempen ini boleh dianggap berjaya kerana berdasarkan maklumat yang diterima, hasil kutipan caj 20 sen ini semakin berkurangan.

“Keadaan ini membuktikan kebanyakan pengguna membiasakan diri membawa beg sendiri semsa membeli-belah,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Hee berkata kerajaan negeri juga sedia mempertimbangkan cadangan penggunaan beg kertas sebagai alternatif kepada beg plastik.

Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan beg kertas itu perlu diperhalusi terlebih dahulu kerana ia mempunyai kesan yang baik dan buruk kepada alam sekitar.

“Contohnya walaupun boleh kitar semula, tapi ia akan melibatkan penebangan pokok yang akan memberi kesan.

“Selain itu, beg kertas tak sesuai untuk membawa barang basah dan berat,” katanya.

Lihat Komen
ADS