Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Status OSA dokumen dibatalkan untuk kes Najib, Irwan

Sejumlah dokumen akan dikeluarkan daripada klasifikasi Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk digunakan dalam perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak dan ketua setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.

Ketua pendakwa Gopal Sri Ram berkata demikian selepas peguam Irwan, K Kumaraendran, meminta semua dokumen yang berkaitan dengan perbicaraan itu diserahkan kepada mereka sebelum tarikh pengurusan kes pada 7 Dis ini.

"Kami tidak boleh memenuhi permintaan itu kerana beberapa dokumen tertakluk di bawah OSA," katanya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Perbicaaraan didengar di depan hakim Azman Ahmad.

Najib diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, manakala Irwan turut diwakili Geethan Ram Vincent.

Kedua-dua tokoh berprofil tinggi itu didakwa pada 25 Okt lalu atas enam tuduhan pecah amanah ke atas dana kerajaan berjumlah RM6,636,065,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya di antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.

Menurut Gopal lagi sedikit masa diperlukan untuk melakukan proses membatalkan status OSA berkenaan.

Gopal yang juga bekas hakim mahkamah persekutuan berkata pihaknya sedang menyediakan 224 dokumen untuk peguam bela dan ia mewakili 70 hingga 80 peratus daripada keseluruhan dokumen yang akan dikemukakan dalam perbicaraan tersebut.

Najib dan Irwan sebelum itu mengemukakan permohonan untuk memindahkan perbicaraan itu ke mahkamah tinggi. Permohonan berkenaan akan didengar di depan pendaftar mahkamah esok.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan Najib dan Irwan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, serta denda.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS