BERITA Malaysiakini

Najib: Saya lebih percaya Putera Arab Saudi berbanding Justo

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Selepas hampir seminggu membisu, bekas perdana menteri Najib Razak akhirnya membalas dakwaan Pengerusi Edge Media Group Tong Koi Ong bahawa beliau sudah lama tahu tentang salah laku melibatkan 1MDB.

Najib tidak menafikan dakwaan Tong pada 2015 menunjukkan maklumat yang didakwa sebagai bukti Jho Low telah melakukan penipuan terhadap 1MDB, namun berkata beliau meragui "bukti" itu.

"Semua dokumen yang ditunjukkan Tong sebagai ‘bukti’ pada masa itu berdasarkan kepada emel-emel daripada PetroSaudi yang dicuri seorang kakitangan yang tidak berpuas hati dan kemudiannya melakukan peras ugut terhadap rakan dan majikannya selama beberapa tahun.

"Terdapat juga dakwaan dokumen tersebut telah dipinda. Kakitangan itu kemudian disabitkan kesalahan di mahkamah Thailand atas tuduhan peras ugut," katanya di Facebook hari ini.

Najib merujuk dokumen yang dibocorkan bekas eksekutif Petrosaudi International Xavier Justo berkaitan usaha sama syarikat itu dengan 1MDB yang disiarkan media tempatan dan antarabangsa.

Xavier Justo

Antara media itu adalah The Edge, yang membentuk asas siasatan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

Pada 2015, Justo dihukum penjara tiga tahun atas kesalahan cuba mengugut dan memeras Petrosaudi tetapi dibebaskan 18 bulan kemudian, selepas diberi pengampunan diraja oleh Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn.

Dalam ruangan editorial The Edge pada 24 November lalu, Tong mendakwa beliau berjumpa Najib di kediaman bekas presiden Umno itu pada 6 Mac 2015, dan menunjukkan "bukti" bahawa 1MDB adalah satu penipuan.


BacaBos Edge: Najib usir saya bila cakap penipuan Jho Low


Tong mendakwa Najib kemudian memintanya beredar dari rumahnya.

"Selepas kira-kira setengah jam, dia kesal dan beritahu saya dia akan menutup 1MDB. Dia tidak mengatakan apa yang akan dilakukannya mengenai hutang itu.

"Saya kemudian beritahu Najib bahawa Jho Low mesti dipertanggungjawabkan dan didakwa. Ini mengecewakannya. Dia segera bangun, berjalan ke pintu dan meminta saya pergi.

"Saya terkejut kerana dia sangat sensitif terhadap Jho Low," kata Tong.

Dakwaan itu selepas Najib sekali lagi menegaskan beliau tidak tahu-menahu tentang penyelewengan dana melibatkan 1MDB dan penglibatan Jho Low pada masa itu.

Dalam hantaran Facebook itu lagi, Najib menjelaskan pada masa itu kerajaan turut bertanya kepada Petrosaudi untuk memastikan kebenaran dakwaan syarikat itu turut terlibat dalam penyelewengan tersebut.

Najib berkata Petrosaudi menafikannya.

Katanya lagi, juru audit dan syarikat guaman 1MDB juga tidak membangkitkan kerisauan berhubung sebarang keraguan berkaitan transaksi dana dan urus niaga syarikat yang terlibat.

Antaranya pembayaran oleh Petrosaudi dan keuntungan dalam bentuk unit dana, yang dikatakan dijamin Aabar Corporation milik syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipic).

Selepas pertemuan dengan Tong, kata Najib lagi, unit dana itu ditukar kepada bon AS$3.5 bilion yang dijamin Ipic.

"Ketika itu, tiada petunjuk bahawa jaminan unit atau jumlah yang dibayar 1MDB kepada Aabar BVI adalah satu penipuan.

"Ya, hari ini Tong mungkin betul tetapi pada Mac 2015, ia adalah perkataannya dan bersandarkan kepada dakwaan seorang kakitangan yang tidak berpuas hati berbanding dengan apa dijelaskan oleh gabenor Riyadh dan putera raja Arab Saudi yang bertakhta (Putera Turki Abdullah), juru audit antarabangsa dan pengurusan tertinggi Aabar," katanya lagi.