Rusuhan kuil: Ayala Corp Filipina sedia hulur kerjasama penuh, kata peguam
Ayala Corporation yang beribu pejabat di Filipina, berjanji untuk menghulurkan kerjasama penuh kepada kerajaanberhubung kemelut pertikaian tanah membabitkan sebuah kuil Hindu di tanah miliknya di Seafield, Subang Jaya.
Perbadanan itu adalah pemilik majoriti MCT Bhd, yang memiliki One City Development Bhd.
Menurut seorang peguam One City Development Haniff Khatri Abdulla, ini disampaikan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi surat rasmi yang dihantar pada pagi ini.
Haniff berkata syarikat itu juga menafikan sebarang pembabitan dalam dakwaan mengupah samseng untuk menceroboh Kuil Sri Maha Mariamman pada pagi Isnin lalu.
"Lewat pagi ini, syarikat itu (One City Development Bhd) melalui pemilik utama Filipina mereka telah menghantar surat kepada PMO untuk memaklumkan, peranan dan tujuan pelaburan mereka di Malaysia, dan berjanji akan memberi kerjasama penuh.
"Mereka juga sedih dengan tuduhan bahawa mereka terlibat dalam aktiviti mengupah samseng, yang mereka nafikan sekeras-kerasnya," kata Haniff kepada pemberita semasa sidang akhbar hari ini di pejabatnya di Petaling Jaya.
Beliau menambah bahawa surat itu juga akan dihantar melalui Kedutaan Filipina.

