Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah putuskan kuil Seafield tak boleh 'disentuh' hingga Januari

Pasukan peguam yagn mewakili Badan Bertindak Selamatkan Kuil Sri Maha Mariaman dan syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd akan kembali ke Mahkamah Tinggi Shah Alam esok.

Ia selepas kedua-dua pihak mempunyai tafsiran berbeza terhadap keputusan Hakim Wong Kian Kheong yang menyaksikan kuil yang menjadi perhatian itu dibenarkan untuk terus berada di kedudukan sekarang sehingga Januari tahun depan.

Hari ini, pemberita yang membuat liputan terhadap perbicaraan itu diberi versi maklumat berbeza oleh dua pasukan peguam itu.

Peguam Vasanthi Arumugam yang mewakili 50 plaintif daripada pihak kuil berkata Wong memberikan injunksi sementara (ad interim) yang menghalang One City Development daripada mengambil tindakan berkenaan pemilikan tanah.

Beliau berkata hakim memberikan injunksi itu kepada plaintif utama, pengerusi badan bertindak kuil M Ramachandran, dan 49 plaintif lain.

"Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memberikan injunksi ad interim...Syarikat pemaju membuat akujanji untuk tidak mengambil sebarang langkah berkaitan kuil itu sehingga permohonan injunksi selesai," katanya menerusi pesanan ringkas.

Namun ia kemudian disangkal salah seorang peguam pemaju, Brenda Chan Qing Wen, yang menghubungi pemberita untuk memberitahu mahkamah hanya meminta anak guamnya membuat aku janji.

"Hakim tanya jika anak guam kami sanggup untuk membuat aku janji. Kami mendapat arahan daripada anak guam kami dan untuk mengekalkan keamanan, anak guam kami memberikan aku janji untuk tidak meneruskan tindakan pemilikan tanahnya sehingga permohonan injunksi didengar pada 11 Januari 2019.

"Mahkamah tidak memberikan injunksi sementara," katanya menerusi Whatsapp.

Susulan itu, Malaysiakini menghubungi pasukan peguam badan bertindak kuil dan peguam Vasanthan Gopalan berkata pihaknya akan meminta penjelasan dengan hakim esok.

"Apa yang kami boleh katakan adalah hakim memberikan injunksi ad interim dan aku janji adalah sebahagian daripada injunksi itu.

Hari ini juga, seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi Gunalan Muniandy menarik diri daripada mendengar injunksi itu selepas menolak satu lagi permohonan yang difailkan oleh satu lagi kumpulan penganut untuk kuil itu.

Ramachandran bersama-sama 40 individu lagi memohon injunksi bagi menghalang syarikat pemaju atau ejennya daripada mendekati kuil itu atas niat memindahkannya atau tujuan-tujuan lain, sehingga semua proses mahkamah berhubung perkara itu selesai.

Plaintif juga memohon penangguhan pelaksanaan writ pemilikan dan ganti rugi lain yang dirasakan sesuai, termasuk kos.

Selain One City Development Sdn Bhd, plaintif juga menamakan lima pihak lagi sebagai defendan iaitu Sime UEP Properties Bhd, pengarah jabatan perancangan bandar dan desa Selangor, kerajaan Selangor dan dua individu, K Chellappa dan M Nagaraju.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS