Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyemak semula undang-undang berkaitan pembinaan rumah ibadat bagi memastikan satu dasar seragam di peringkat kebangsaan dapat digariskan secepat mungkin.

Bagaimanapun, kata menterinya Zuraida Kamaruddin, sekiranya ia melibatkan pindaan akta, cadangan berkenaan hanya boleh diputuskan pada sesi parlimen Mac depan.

“Saya kena periksa semula, jika hanya melibatkan perubahan undang-undang kecil, kita boleh buat dengan cepat, [...] sebelum hujung tahun ini pun sudah boleh.

“Tetapi jika melibatkan pindaan akta, kita mungkin perlu ambil masa lebih panjang, mungkin dalam sesi akan datang (sekitar Mac tahun depan).

“Memandangkan isu ini genting, kita harap dapat dibuat secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa semua pembinaan rumah ibadat perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mana-mana rumah ibadat juga tidak lagi boleh dibina di atas tanah yang bukan milik mereka.

Menurut Dr Mahathir, keputusan itu diambil bagi mengelak sebarang masalah yang timbul pada masa hadapan, terutama apabila pemilik tanah menuntut semula hak mereka.

Keputusan itu diambil susulan rusuhan yang berlaku di kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada Isnin lepas yang menyebabkan kerosakan harta awam dan kecederaan.

Tengah hari tadi, kerajaan negeri Selangor memberi jaminan bahawa kuil di Seafield itu tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaian menyeluruh dibuat pada 11 Januari tahun depan membabitkan antara pihak kuil dan pemaju.

Keputusan tentang masa depan kuil itu akan ditentukan dalam satu prosiding mahkamah pada tarikh tersebut.