GLOBAL l Gara-gara menjadikan nama seorang gadis berusia lima tahun sebagai bahan lawak, syarikat penerbangan Southwest Airlines terpaksa memohon maaf setelah seorang kakitangannya didakwa mengejek kanak-kanak yang adalah penumpang syarikat berkenaan.

Portal BBC melaporkan kejadian berlaku apabila Traci Redford dan anak gadisnya, Abcde (disebut ab-si-dee), sedang dalam perjalanan pulang ke El Paso, Texas, dari Lapangan Terbang John Wayne di California.

Seorang kakitangan penerbangan itu mula tertawa dan merakamkan gambar pas masuk kanak-kanak itu dan menyiarkannya di laman Facebook.

Redford berkata kakitangan itu "ketawa, sambil menuding ke arah dirinya dan anak gadisnya itu sambil bercakap dengan pekerja lain".

"Saya kemudian meminta mereka berhenti berbuat demikian," kata Redford sambil berkatamereka kemudian memfailkan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan itu.

Dalam pada itu, jurucakap Southwest Airlines, Chris Mainz berkata pihaknya secara ikhlas memohon maaf ke atas apa yang berlaku, dan menyatakan tindakan kakitangannya itu tidak mencerminkan imej syarikat penerbangan berkenaan yang menghormati pelanggan.