Selain kasut hitam, pekeliling ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mensyaratkan pemakaian kasut dan stoking hitam bermula pada sesi persekolahan 2019.
Namun KPM masih memberi kelonggaran dalam tempoh transisi sehingga 2021 dan meminta pihak sekolah supaya tidak memaksa murid berbuat demikian dalam tempoh transisi berkenaan.
"Dalam tempoh transisi tersebut, murid-murid masih dibenarkan untuk memakai kasut dan stoking berwarna putih.
"Justeru, pihak sekolah diminta untuk tidak mengadakan peraturan atau memaksa murid untuk memakai kasut berwarna hitam dalam tempoh transisi ini," menurut kenyataan pekeliling itu hari ini.
Ia juga menetapkan jenis kasut yang dibenarkan oleh murid sekolah rendah dan menengah, iaitu kasut berwarna hitam yang diperbuat daripada kanvas atau bahan sintetik seperti nylon dan polyester.
"KPM prihatin berkaitan isu warna kasut sekolah dalam kalangan murid. Justeru, KPM telah mengambil inisiatif dengan mengadakan libat urus bagi mendapatkan pandangan masyarakat mengenai perkara tersebut.
"Dapatan libat urus menunjukkan bahawa majoriti responden termasuk ibu bapa bersetuju dengan pemakaian kasut berwarna hitam berbanding kasut berwarna putih oleh murid sekolah," katanya.
