Mahkamah Tinggi Shah Alam menjelaskan bahawa ia tidak mengeluarkan sebarang perintah injunksi interim terhadap One City Development Sdn Bhd daripada mengambil semula tapak tanah Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, kata peguam firma itu, Claudia Cheah.
Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Wong Kian Kheong memberitahu kedua-dua pihak di kamarnya pagi ini bahawa akur janji One City Development adalah untuk tidak meneruskan pengambilan tanah itu sehingga permohonan injunksi interim dibicarakan bulan depan.
Cheah juga berkata hakim memberitahu pihak-pihak bahawa akur janji itu akan luput sekiranya mahkamah membatalkan tindakan plaintif (pasukan petugas khas kuil) sebelum tarikh 11 Januari.
"Hakim menjelaskan dan mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang perintah semalam mengenai injunksi interim.
"Hakim selanjutnya menjelaskan bahawa berdasarkan rekod mahkamah, One City Development memaklumkan mahkamah semalam bahawa ia berjanji untuk tidak melaksanakan penghakiman persetujuan, sementara menunggu pendengaran permohonan injunksi sementara pada 11 Januari ini," kata Cheah dalam satu kenyataan.
Pertemuan pagi ini dengan hakim diadalah setelah pasukan peguam yang mewakili plaintif dan One City Development (defendan kelima) membuat tafsiran berbeza mengenai keputusan semalam, yang dibuat di dalam kamar.
Malaysiakini telah menghubungi pasukan peguam plaintif untuk ulasan mereka.
