Naib Presiden MIC, C Sivarraajh menafikan dirinya menawarkan wang sebagai balasan bagi mendapat undi ketika bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ini selepas Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur memutuskan hari ini bahawa calon DAP, M Manogaran telah membuktikan keraguan munasabah bahawa terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan BN pada pilihan raya itu.

Sehubungan itu mahkamah mengisytiharkan kerusi itu dikosongkan bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Sivarrajh mendakwa terdapat "ejen" yang menyerahkan wang kepada ketua-ketua kampung Orang Asli menjelang PRU14 dan bukan beliau berbuat demikian.

"Saya tidak memberi wang kepada Tok Batin (Orang Asli). Dan bahkan kesemua bukti di mahkamah menunjukkan bahawa saya tidak memberikan apa-apa wang.

"Menurut penghakiman, ia mengatakan ejen memberikan wang [...] Yang sudah pasti kamu sendiri tahu ada calon lain juga bertanding selain saya," katanya ketika dihubungi hari ini setelah keputusan dibacakan oleh Hakim Azizah Nawawi.

"Beliau (hakim) juga tidak menuduh saya atas sebarang rasuah, beliau mengatakan tidak ada bukti terhadap saya secara langsung," katanya.

Akan failkan rayuan

Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya pada 5 Jun yang mendakwa Sivarraajh dan ADUN Jelai Wan Rosdy Wan Ismail telah bertemu sembilan ketua kampung dan memberi mereka wang untuk diagihkan kepada penduduk Orang Asli yang berjumlah antara RM30 dan RM1,000 setiap seorang.

Wan Rosdy kini merupakan menteri besar Pahang.

Sivarraajh berkata selepas berunding dengan peguamnya, Mohd Hafarizam Harun, beliau memutuskan untuk membuat rayuan berhubung keputusan itu.

"Saya akan buat rayuan.

"(Tetapi) jika ada pilihan raya, saya serahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan siapakah calon," katanya.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Cameron Highlands dengan memperoleh majoriti 597 undi menewaskan Manogaran bersama calon PAS, PSM dan Berjasa dalam pertandingan lima penjuru.