Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vincent Tan saran kutip derma beli tanah kuil Seafield
Diterbitkan:  Nov 30, 2018 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Tokoh perniagaan terkemuka Vincent Tan mencadangkan penubuhan sebuah tabung bagi membolehkan orang ramai menyumbang bagi membantu membeli tapak tanah Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Ini, katanya, akan membolehkan kuil itu - yang menyaksikan rusuhan selama dua hari akibat pertikaian tanah baru-baru ini - untuk kekal di tapak sekarang.

The Star Online melaporkan bahawa Tan, yang adalah pengasas dan penasihat Berjaya Corp Bhd, juga menjanjikan wang RM500,000 untuk memulakan tabung itu.

"Orang ramai boleh beli tanah itu, bayar pemaju dan kekalkan kuil di tapak itu.

“Sukar untuk mengharapkan kerajaan negeri Selangor membeli tanah itu.

"Kita yakin lebih ramai rakyat Malaysia bersedia untuk menderma untuk mengekalkan kuil itu," katanya yang dipetik oleh portal itu, sambil menambah bahawa beliau merancang untuk mendapatkan pendanaan awam berhubung inisiatif itu.

Tan berkata, beliau akan memberikan lebih banyak butiran dan mekanisme sokongan untuk tabung itu tidak lama lagi.

Bekas pengerusi MCT Bhd, Barry Goh turut dilaporkan akan menyertai Tan dalam menjanjikan RM500,000 untuk tabung itu.

Tanah kuil yang terletak di USJ25 di Subang Jaya itu, adalah milik One City Development, anak syarikat MCT Berhad.

MCT pada awal tahun ini dibeli oleh Ayala Corporation yang beribu pejabat di Filipina.

Menurut laporan The Star Online, tanah itu kini bernilai antara RM14.37 juta dan RM15.33 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS