Polis akan memantau perhimpunan yang bakal dianjurkan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa di Jalan Raja Alang di Kuala Lumpur, pada Ahad ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

“Polis dimaklumkan pihak Perkasa akan mengadakan mesyuarat dan persidangan agung pada Ahad ini.

“Himpunan itu dibuat untuk anggota Perkasa dan polis akan pantau serta ambil tindakan sewajarnya jika menyalahi undang-undang,” katanya yang dipetik oleh Bernama, hari ini.

Satu poster bertajuk ‘Himpunan Jihad Perkasa’ yang mengajak orang ramai berhimpun di Jalan Raja Alang di Kuala Lumpur, tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, pada Sabtu depan (8 Dis), perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dijadual diadakan di ibu negara.

Terdahulu, setiausaha agung Perkasa Syed Hasan Syed Ali berkata, “Perhimpunan Jihad Perkasa” itu diadakan sempena mesyuarat agung tahunan dan akan menampilkan pimpinan Perkasa dari seluruh negara.

Beliau memberitahu Malaysiakini, perhimpunan untuk menyebarkan isu semasa itu akan dihadiri lebih 1,000 orang ahli Perkasa.