Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC bentang laporan awal dakwaan laporan audit 1MDB dipinda Mac

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berharap dapat membentangkan laporan awal berhubung dakwaan laporan asal audit 1MDB dipinda seawal Mac 2019.

"Kita harap dapat bentang laporan awal prosiding PAC dalam sesi parlimen berikutnya yang dijangka pada Mac dan April.

"Bagaimanapun, ia bergantung dengan perkembangan (prosiding PAC berhubung laporan audit 1MDB).

"Sudah tentu kita akan kenal pasti pihak yang bertanggungjawab memberi arahan (untuk meminda laporan audit 1MDB). Dan kita akan kemukakan cadangan kita kepada Dewan Rakyat dalam laporan akhir," kata Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh kepada media ketika menghadiri forum pembaharuan pilihan raya di parlimen hari ini.

PAC akan memulakan prosiding dengan memanggil bekas ketua audit negara Ambrin Buang pada 4 Dis dan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad hari berikutnya, kata Wong.

Dalam kenyataan media pada 25 Nov lalu, Madinah mendedahkan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy terlibat dalam dakwaan meminda laporan audit 1MDB.

Menurut Madinah, antara bahagian yang dipinda dalam laporan audit itu termasuklah mengeluarkan bahagian yang menyebut kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

"Bagi Arul Kanda, kita mungkin akan panggil dia beri kenyataan dalam prosiding lain, yang akan ditetapkan pada Jan 2019," kata Wong.

Wong juga memaklumkan bahawa PAC akan memanggil individu yang dinamakan dalam kenyataan Madinah untuk memberi keterangan.

Lihat Komen
ADS