Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Dr Ibrahim Ali hari ini berkata beliau membenarkan ahlinya untuk turut serta dalam perhimpunan kesyukuran sempena penolakan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Dalam sidang medianya hari ini, Ibrahim berkata anggota Perkasa boleh menyertai himpunan berkenaan secara peribadi dan bukan atas nama Perkasa.

"Setakat ini, pendirian Perkasa mengenai perhimpunan 8 Disember, Perkasa atas nama perpaduan ummah atas nama silaturahim tanpa mengambil kira sentimen politik Perkasa tidak menghalang ahli-ahlinya untuk turut serta.

"Penyertaan ahli Perkasa atas nama individu masing-masing tidak mewakili Perkasa," jelas beliau.

Ibrahim juga mengingatkan agar ahli Perkasa yang mahu menyertai perhimpunan itu tidak memakai baju Perkasa kerana dikhuatiri ia akan menjadi acara untuk menonjolkan pertubuhan yang diwakili melebihi tujuan asal yang sebenar.

Tegas beliau, Perkasa tidak berkiblatkan mana-mana parti politik dan pihaknya berjuang di atas kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sebelum ini, Ibrahim menggesa agar parti politik yang menyertai perhimpunan kesyukuran itu supaya tidak membawa lambang parti masing-masing yang menurutnya boleh menyebabkan mesej asal menolak Icerd "tidak sampai".