CEO Kumpulan Media Star lepaskan jawatan lebih awal
Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Media Star, Wong Chun Wai akan melepaskan jawatannya pada 1 Jan, iaitu setahun lebih awal daripada tarikh kontraknya tamat.
Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia, Wong juga akan melepaskan jawatannya sebagai pengarah di semua syarikat subsidiari Kumpulan Media Star.
Bagaimanapun, beliau masih akan berkhidmat sebagai penasihat bagi editorial dan hal korporat.
Wong, 57, menyertau akhbar The Star sejak 1984. Syarikat berkenaan belum menamakan pengganti Wong.
Sepanjang kerjayanya, Wong menyaksikan The Star berkembang dari suratkhabar perniagaan sehingga kini terlibat dalam siaran radio, acara, dan perkhidmatan video.
"Transformasi sedang mengambil alih, dan kita kini ke era digital sepenuhnya.
"Tapi saya serahkan kepada rakan-rakan sekerja saya, yang saya yakin akan melakukan kerja yang lebih baik, untuk berdepan dengan peredaran masa ini.
"Ia bukan pengakhiran sebuah era bagi saya. Saya cuma mahu kembali kepada apa yang saya suka - kewartawanan dan menulis," katanya dalam satu kenyataan.

