Selepas empat dekad, Kit Siang akan berucap di UM lagi
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang telah dijadualkan untuk bercakap di Universiti Malaya pada 7 Disember, iaitu yang pertama di institusi itu sejak 1970-an.
Lim disenaraikan untuk berucap di pelancaran buku 509: The People Have Spoken, satu kompilasi artikesl mengenai pilihan raya umum 9 Mei.
Pelancaran itu juga akan menyaksikan perbincangan panel yang melibatkan ahli ekonomi terkemuka KS Jomo dan Edmund Terence Gomez, bersama dengan felo Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Idea) Tricia Yeoh.
Ketika dihubungi, Lim berkata sebelum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dikuatkuasakan, terdapat perdebatan politik yang rancak di UM.
"Sebelum AUKU digubal, saya bercakap dengan Dr Mahathir Mohamad di pentas yang sama ... terdapat banyak perdebatan tentang ekonomi pada masa itu, tetapi ia berakhir satu atau dua tahun selepas AUKU.
"Kami banyak bercakap tentang isu politik, pendidikan dan ekonomi," katanya kepada Malaysiakini.
Mengenai bagaimana beliau merasakan untuk menjejak UM selepas empat dekad, Lim melahirkan harapan bahawa lebih banyak universiti akan menjadi tuan rumah perdebatan intelektual.
Beliau berkata universiti seharusnya menggalakkan ahli politik dari kedua-dua belah pihak untuk mengadakan perbincangan.
"Universiti harus mempunyai lebih banyak kebebasan dan ruang untuk menyatakan pandangan mereka sendiri," katanya.
AUKU, yang digubal ketika Mahathir menjadi menteri pendidikan pada 1970-an, sering dipersalahkan kerana menyekat kebebasan akademik dan pelajar.

