Pihak pengurusan BFM 89.9 sedang menyiasat dakwaan mengenai kejadian gangguan seksual di stesen radio berbahasa Inggeris berkenaan.

Tuduhan tersebut dibuat melalui kiriman e-mel kepada Malaysiakini, yang menunjukkan insiden terperinci melibatkan beberapa kakitangannya.

Ia juga mendakwa pengurusan syarikat mengetahui kejadian itu tetapi masih belum mengambil tindakan.

Ketika dihubungi, pengasas BFM, Malek Ali memberitahu Malaysiakini pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Dalam satu kenyataan kemudian, Malek berkata syarikat itu, bagaimanapun, "tidak dapat mengesahkan situasi seperti yang diterangkan" pada masa ini.

"Kami komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat di mana semua anggota masyarakat kita boleh bekerja tanpa rasa takut dan diancam gangguan seksual.

"Kami mengambil serius semua dakwaan gangguan seksual dan salah laku. Penyiasatan dalaman dimulakan apabila tuduhan dibuat," kata kenyataan itu.

Malaysiakini tidak menyiarkan butiran tuduhan dan identiti yang dituduh sementara menunggu pengesahan.