Polis menahan enam lagi individu hari ini berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di Subang Jaya Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata, tangkapan terbaru dibuat sekitar Lembah Klang awal pagi ini, menjadikan jumlah tangkapan seramai 48 orang setakat ini.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memaklumkan jumlah tangkapan berhubung insiden kekecohan di kuil berkenaan meningkat 12 orang menjadikan jumlah tangkapan 42 orang, berbanding 30 orang seperti yang didedahkan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baru, menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Mohd Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Kejadian itu juga menyebabkan kecederaan kepada beberapa anggota keselamatan dan orang awam selain kemusnahan beberapa buah kenderaan dan premis perniagaan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

-Bernama