Kit Siang bidas MCA tuduh DAP khianati Cina
Penasihat DAP Lim Kit Siang menafikan dakwaan MCA bahawa parti itu mengkhianati kepentingan masyarakat Cina, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai 'pembohongan politik'.
Tuduhan itu dibuat timbalan presiden MCA Mah Hang Soon semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA hari ini.
Semasa ucapan Mah, MCA menayangkan montaj video yang memaparkan dua gambar menteri kewangan Lim Guan Eng bersama petikan kata-katanya berbunyi "Saya bukan Cina" dan "Saya rakyat Malaysia."
Kata-kata tersebut diucapkan Guan Eng ketika beliau mula-mula dilantik ke jawatan itu apabila menegaskan dirinya “bukan seorang Cina, tetapi rakyat Malaysia”.
"Bagaimana begitu rendahnya cubaan MCA untuk mendapatkan semula sokongan politik?
"Pemimpin-pemimpin MCA sama sekali tidak bertanggungjawab kerana menghasut kebencian di kalangan rakyat terhadap pemimpin DAP.
"Pemimpin DAP tidak pernah menafikan etnik kami, tetapi sama ada kita orang Cina, Melayu, India, Kadazan atau Iban, yang lebih penting kita rakyat Malaysia, yang memberikan kita syarat untuk memperjuangkan hak dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.
"Setakat yang saya ketahui, Guan Eng adalah satu-satunya pemimpin politik yang telah melintasi garisan etnik dengan mengorbankan masa depan dan kedudukan politiknya sebagai anggota parlimen dan malah dipenjarakan kerana mempertahankan kehormatan dan maruah seorang gadis Melayu bawah umur, ketika beliau menjadi anggota parlimen Kota Melaka pada tahun 90an,"kata Kit Siang.
Terdahulu, Mah membangkitkan isu seperti pengiktirafan peperiksaan UEC dan pengurangan peruntukan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Tar UC).
Beliau juga mendakwa Kit Siang dan Guan Eng kini menjadi mengampu perdana menteri sehingga sanggup menjejaskan kepentingan dan hak masyarakat Cina.
Bagaimanapun Kit Siang berkata, kaum Cina sendiri menolak MCA pada pilihan raya umum lalu dan parti itu hanya memenangi satu kerusi parlimen, malah terpaksa bergantung kepada sokongan pengundi Melayu.
"Rakyat Malaysia terdiri daripada etnik yang berbeza tetapi kita mesti bersatu sebagai rakyat Malaysia untuk mewujudkan Malaysia Baru yang bersatu, demokratik, bersih, adil, progresif dan makmur," kata Kit Siang.
Beliau menuntut MCA membuat permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan tersebut pada perhimpunan tahunan parti itu esok.

