Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Perhimpunan aman merupakan antara perkara yang diperjuangkan oleh ramai tokoh politik dalam kerajaan hari ini sebelum mereka menjadi pemerintah.

Maka, tidaklah janggal untuk mana-mana pihak berhimpun pula secara aman dengan syarat mereka mengikut lunas undang-undang.

Apatah lagi jika rekod pihak berkenaan sebelum ini terbukti tidak bertindak ganas dalam perhimpunan-perhimpunan mereka.

Seperti yang saya sebut sebelum ini, untuk membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) nampaknya sudah tidak relevan setelah perdana menteri menegaskan kerajaan tidak akan meratifikasikannya.

Namun, untuk penegasan isu-isu semasa lain yang membabitkan kepentingan umat Islam, mungkin relevan dalam suasana umat Islam memerlukan suara siasah yang jelas pada saat ini.

Demikian juga bantahan isu-isu semasa seperti bantahan ke atas kenyataan jahat ahli politik pelampau Hindu di India baru-baru ini.

Sekalipun hari ini kita mungkin berbeza pendapat dalam beberapa hal, namun kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan tokoh-tokoh Muslim dalam PAS, Umno, Bersatu, dalam kalangan PKR dan terdapat juga dalam Amanah merupakan harapan siasah umat Islam di Malaysia.

Tiada slogan kepartian

Apabila tokoh-tokoh ini berhimpun dan bersuara, mereka mewakili rasa hati umat Islam yang bersama mereka.

Realitinya, umat Islam hari ini gusar dengan perkembangan mutakhir. Berilah ruang untuk mereka menzahirkan keresahan itu dalam suasana yang aman.

Pihak lain kelihatan lantang suara mereka menuntut pelbagai hak. Itu pun hak mereka untuk bersuara. Sementara kebanyakan tokoh politik umat Islam dalam kerajaan hanya diam, ataupun kurang bersuara.

Apatah lagi ada yang begitu apologetik dengan Islam.

Gambar fail

Maka, biarlah jika ada pihak yang mampu dan ingin bersuara bagi menzahirkan rasa hati mereka sebagai penduduk asal dan majoriti dalam negara ini.

Bagi saya, perhimpunan aman yang hendak dilakukan itu boleh dianggap ikhlas dan bertujuan untuk kepentingan umat jika ia bebas daripada slogan kepartian dan tidak berkempen menaikkan parti-parti politik tertentu.

Ia hendaklah satu perhimpunan rentas parti dan rentas kepentingan kelompok. Perhimpunan untuk umat, daripada umat dan kepada umat.

Saya juga ingin mengingatkan, Islam itu adil untuk semua tanpa mengira latar bangsa dan agama.

Perhimpunan itu tidak boleh menjadi seruan yang menzalimi mana-mana agama dan bangsa lain yang tidak menzahirkan permusuhan terhadap umat Islam.

Seruan Islam ialah mengajak kepada keharmonian hidup bersama mereka yang cintakan kedamaian. Saya percaya pihak penganjur memahami hal ini.

Saya ingin mengingatkan mereka yang ingin menyertai perhimpunan aman itu agar mengamalkan akhlak Islam iaitu tidak memaki-hamun, mencarut, melaungkan ungkapan yang menyanggahi prinsip Islam, mengelakkan tingkah laku yang bercanggah dengan ajaran Islam serta menghormati hak jalan.

Demikian juga hendaklah mereka mematuhi arahan pihak keselamatan demi kebaikan negara.

*Hantaran asal yang dipetik Malaysiakini telah dipadam di laman Facebook rasmi Mohd Asri tengah hari ini.


DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS