Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang menghalang wakil rakyat daripada lompat parti.

Berucap dalam Kongres Kebangsaan Pemuda DAP di Serdang Jaya, Selangor hari ini, ketuanya Wong Kah Woh berkata Malaysia perlu mengikut jejak 41 negara - antaranya India, Taiwan dan Papua New Guinea - yang memiliki undang-undang seumpama itu.

"Baru-baru ini kita lihat anggota parlimen khususnya daripada Umno diterima masuk dalam PH. Ini fenomena yang amat membimbangkan kita...Ini bertentangan dengan prinsip asas demokrasi.

"Kita mahu rakan-rakan komponen (dalam PH) berkembang dan bertambah kuat, tapi kita tak boleh terima wakil rakyat khasnya dari parti lawan kita sebelum PRU ke-14 dan merupakan musuh di sebelah sana," katanya.

Walaupun tidak menafikan ada anggota parlimen pembangkang yang bagus, Wong berkata PH harus menghormati keputusan pengundi menolak BN pada PRU lalu.

Beliau menyifatkan lompat parti adalah amalan lapuk yang diamalkan BN dan mengingatkan tentang "pengalaman pahit" pada 2009 ketika Pakatan Rakyat hilang kuasa sebagai kerajaan negeri di Perak.

"Sudah tiba masanya untuk kerajaan menggubal undang-undang untuk menghalang lompat parti, seperti yang sudah dibuat di 41 negara.

"Jika ada wakil rakyat yang ingin keluar parti, mereka perlu bertanding dalam pilihan raya kecil dan membuktikan populariti mereka," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS