Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji Howard Lee meraih kemenangan dalam pemilihan ketua Pemuda DAP hari ini selepas mengalahkan lawannya dengan majoriti tipis.
Lee mendapat 189 undi berbanding lawannya Chow Yu Hui yang meraih 166 undi.
Beliau menggantikan Anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh bagi jawatan itu.
Rakan speasukan Chow, Chiong Yong Kong, turut meraih kemenangan tipis selepas mengalahkan Phoong Jin Zhe dengan beza 36 undi untuk menjadi timbalan ketua Pemuda DAP.
Lee yang fasih berbahasa Melayu dilihat sebagai calon yang mewakili pendirian yang lebih pelbagai kaum.
Bagaimanapun beliau juga berdepan kritikan sebagai "kurang membantu masyarakat Cina".
Pesaingnya dalam jawatan itu, Chow, berkempen antaranya atas platform memansuhkan kuota kaum di kolej matrikulasi.
Bercakap dengan media selepas kekalahannya, Chow berkata beliau berharap Pemuda DAP bawah Lee akan tetap menimbang untuk menggesa pemansuhan itu.
Kolej matrikulasi dan Mara dilihat sebagai institusi bumiputera, antara yang masih mengamalkan sistem kuota kaum.
Kuota itu di institut pengajian tinggi awam telah dimansuhkan pada 2002.
Sementara bagi jawatan setiausaha Pemuda DAP, Teh Hoong Keat menang tanpa bertanding. Beliau sebelum ini merupakan ketua Pemuda DAP Selangor.
357 perwakilan yang menghadiri Kongres Pemuda DAP juga mengundi untuk empat naib ketua yang dimenangi, Mordi Anak Bimol, Liow Cai Tung, Muhammad Shakir Ameer Mohideen dan Jenny Choy Tsi Jen.
Bagi 15 jawatan exco yang dipertandingkan, Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin meraih undi paling banyak iaitu 311, diikuti Heng Yeh Shiuan (301 undi), Khoo Khim Han (271 undi), Tan Tiong Yih (264 undi) dan Yu Ing Ching (263 undi).
Bercakap dengan pemberita selepas pengumuman, Lee berkata barisan kepimpinan baru sedia untuk mewakili rakyat dan memainkan peranan sebagai pemantau pentadbiran PH.
"Perwakilan sudah membuat keputusan mereka, kita akan melangkah ke depan sebagai daya yang bersatu untuk mengukuhkan PH dan membawa visinya.
"Kami juga akan menjadi semak dan imbang bukan untuk hal ehwal DAP sahaja, tetapi dasar kerajaan juga, untuk membawa visi 'Malaysia Baru'," katanya lagi.
