Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menghitung hari perkahwinan, tunang Adib setia menunggu
Diterbitkan:  Dec 2, 2018 5:57 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Nurul Najihah yang merupakan tunang kepada anggota bomba yang tercedera dalam insiden rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya terus berharap agar Muhammad Adib Mohd Kassim segera sembuh dan dapat melangsungkan majlis perkahwinan yang dijadualkan bulan ini.

Nurul Najihah berkongsi perkara itu dalam kenyataan di Facebook semalam.

"Disember. Menghitung hari untuk kita, kamu. Hari yang kita berdua tunggu. Semoga kamu kuat. Orang tunggu kamu," katanya.

Muhammad Adib, 24, diserang perusuh pada awal pagi Selasa lalu ketika ditugaskan ke lokasi berhampiran kuil berkenaan.

Muhamad Adib kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) bagi membolehkan beliau menggunakan peralatan khas yang diharap dapat membantu beliau pulih lebih cepat.

Jumaat lalu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Dr Mohd Azhari Yakub berkata keadaan Muhammad Adib semakin baik.

Terdahulu, bekas ketua pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Dr Soh Chai Hock menyifatkan insiden yang menimpa Muhammad Adib sebagai yang pertama dalam sejarah pasukan itu.

Sementara itu, dalam ruangan komen kenyataan Nurul Najihah itu, pengguna media sosial memberikan kata-kata semangat kepadanya.

"Semoga Muhammad Adib cepat sembuh dan dipermudahkan segala apa yang dirancang bersama tunang," kata salah seorangg pengguna media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS