Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rusuhan kuil: Terpulang pada polis guna Akta Hasutan, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata terpulang kepada polis untuk menggunakan Akta Hasutan dalam menangani siasatan insiden rusuhan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman.

"Kita serahkan kepada kebijaksanaan polis kerana undang-undang itu masih ada, dan juga terpulang kepada keputusan Menteri Dalam Negeri.

"Apa yang penting adalah mendakwa pihak yang bertanggungjawab, kita perlu ambil tindakan (terhadap mereka) berdasarkan undang-undang yang ada," kata Anwar.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas program pelancaran buku 9 May 2018: Notes from the Frontline yang dikarang Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdahulu, polis dilaporkan membuka empat kertas siasatan di bawah Akta Hasutan berhubung insiden rusuhan yang berlaku 25 dan 26 Nov lalu.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifesto pilihan rayanya untuk menghapuskan Akta Hasutan. Kabinet juga sebelum ini mengumumkan untuk menggantung semua tindakan di bawah akta itu.

Sementara itu, Anwar juga mengulas berhubung himpunan membantah Konvensyen Penghapusan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang dianjurkan oleh Umno dan PAS yang akan diadakan pada 8 Dis di Dataran Merdeka.

Jelas Anwar, kerajaan sudah mengumumkan untuk tidak meneruskan hasrat meratifikasi konvensyen itu.

"Saya fikir, tak ada sebab untuk mereka teruskan himpunan ini.

"Jika kita kata kita akan (terus) kaji (konvensyen), jadi itu hak rakyat untuk membuat himpunan.

"Tapi untuk berhimpun membantah Icerd adalah tidak wajar kerana kita sudah menolak (Icerd)," kata Anwar.

Beliau juga menggesa agar pemimpin PAS dan Umno memikirkan semula berhubung himpunan itu memandangkan terdapat kebimbangan berhubung sentimen perkauman.

"Saya harap mereka tidak teruskan himpunan itu," katanya.

Lihat Komen
ADS