Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menghormati cadangan MCA yang mahu gabungan itu dibubarkan tetapi berkata MCA juga perlu tahu mengenai kedudukan sebenar mereka.

MCA, pada perhimpunan agung tahunannya, semalam, meluluskan resolusi untuk menggesa pembubaran BN dan membentuk pakatan baru.

“Kami menghormati keputusan yang dibuat dan tentunya mereka tahu apa yang harus dilakukan untuk memperkukuhkan parti MCAsendiri, kerana di parlimen mereka tinggal hanya satu kerusi saja. Itu pun mewakili kerusi yang pengundinya majoriti Melayu.

“Jadi mereka harus tahu kedudukan sebenar mereka, kalau mereka mahu terus relevan di dalam lanskap politik di negara kita,” katanya kepada wartawan di lobi Dewan Rakyat pagi ini.

Zahid berkata keputusan membubarkan BN tidak seharusnya ditentukan oleh MCA sahaja tetapi mesti dilakukan melalui konsensus.

“MCA merupakan satu dari lima parti teras yang masih berada di dalam BN. Minggu lepas pimpinan utama MCA telah menemui saya... cadangan mereka untuk membubarkan BN, itu merupakan satu keputusan yang dibuat oleh parti mereka.

“Terdapat lima buah parti, maka saya akan mengadakan rundingan dan perbincangan dengan empat empat lagi parti-parti teras dan tentunya MCA tidak mempunyai hak untuk cadangkan supaya BN dibubarkan.

“Walaupun ia merupakan satu cadangan, mereka harus mengetahui bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh BN, ia kena dibuat secara konsensus atau sebulat suara,” katanya.

Ketika ini, BN terdiri daripada Umno, MCA, MIC, MyPPP dan PBRS.

Status keanggotaan MyPPP dalam BN tidak jelas kerana rebutan kuasa dalam parti itu, dengan satu puak mahu meninggalkan BN sementara yang lain mahu kekal.

PBRS pula sebelum ini mengumum ia meninggalkan BN dan memohon untuk menyertai Pakatan Harapan. Walau bagaimanapun, ia kembali ke pangkuan BN selepas PH menolak permohonannya.

Lihat Komen
ADS