Tiada bezanya sama ada MCA berada di dalam BN atau sebaliknya, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman dan terserah kepada parti itu jika mahu meninggalkan gabungan itu.

Malah, dakwanya, etiap kali pilihan raya hanya Umno yang gigih bekerja sedangkan MCA tidak membantu.

“Terpulanglah kepada dia (MCA) hendak tinggalkan BN atau tidak. Tidak ada beza (kewujudan MCA) kerana setiap kali pilihan raya kita yang buat kerja.

“MCA ini DAP menang dia untung, kalau dia menang lagi untung,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia selepas menghadiri himpunan tolak Icerd di Kompleks PAS di Kangar, malam semalam.

MCA, pada perhimpunan agung tahunannya, semalam, meluluskan resolusi untuk menggesa pembubaran BN dan membentuk pakatan baru.

Presiden parti itu, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, BN telah mengalami kecondongan kuasa yang amat ketara dan setiap parti komponen memerlukan penghayatan dan penilaian semula bagi mentransformasikan parti masing-masing.

Ketika ini, BN terdiri daripada Umno, MCA, MIC, MyPPP dan PBRS.

Status keanggotaan MyPPP dalam BN tidak jelas kerana rebutan kuasa dalam parti itu, dengan satu puak mahu meninggalkan BN sementara yang lain mahu kekal.

PBRS pula sebelum ini mengumum ia meninggalkan BN dan memohon untuk menyertai Pakatan Harapan. Walau bagaimanapun, ia kembali ke pangkuan BN selepas PH menolak permohonannya.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, fokus Umno pada masa ini adalah memperkukuhkan blok pembangkang melalui kerjasama dengan PAS.

Katanya, kedua-dua parti itu perlu melihat ke hadapan dan membina kekuatan politik untuk mendapatkan kembali kuasa orang Melayu dan Islam.

“Untuk menjaga kepentingan orang Melayu Islam, kita kena ada kuasa. Kita akan berusaha keras ke arah itu melalui kerjasama dengan PAS,” katanya.