Penggunaan Akta Hasutan untuk menahan pemblog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo ketika kabinet sudah mengenakan moratorium (penggantungan sementara), adalah langkah terkebelakang, kata Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia (CIJ).

"CIJ bimbang kerana meskipun moratorium sudah diumumkan ke atas Akta Hasutan, ia masih digunakan untuk menahan Wan Muhammad Azri.

"Kita percaya tindakan kabinet mengenepikan moratorium itu adalah langkah terkebelakang, yang memberi gambaran terdapat keperluan untuk terus menggunakan undang-undang kolonial ini," kata Pengarah CIJ Sonia Randhawa dalam kenyataan media hari ini.

Papagomo ditahan polis pada 29 Nov lalu susulan didakwa memuat naik video berunsur hasutan di laman sosial. Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor selepas itu memaklumkan bahawa pemblog itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan.

Sementara itu, Sonia menambah bahawa situasi di Malaysia tegang ketika ini dan semua pihak perlu lebih berwaspada agar keamanan dapat dikekalkan.

Jelasnya, pada ketika seperti inilah tindakan polis perlu dilihat bukan sebagai tindakan politik, katanya.

"Memandangkan kabinet sudah mengisytiharkan moratorium dalam mengenakan hukuman, dan kerajaan komited untuk memansuhkan Akta Hasutan, siasatan (di bawah akta) ini sangat membimbangkan," katanya.

[Baca berita penuh]