Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin ke Vienna selepas harga minyak jatuh bawah anggaran Belanjawan 2019

Malaysia akan cuba mendapatkan sokongan negara-negara pengeluar minyak kecil lain di Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec), dalam usaha menstabilkan harga minyak.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun Malaysia bukan anggota Opec, ia masih mempunyai tanggungjawab tidak rasmi dengan pertubuhan itu.

"(Sebelum ini) Kami diminta untuk mengurankan pengeluaran sebanyak 20,000 (tong sehari). Persetujuan itu tamat Disember ini.

"Jadi kita akan membincangkan soal ini dengan lebih lanjut. (Kita ingin tahu) sama ada mahu meneruskan persetujuan itu atau menjadikannya perbincangan yang lebih rasmi.

"Itu akan dibincangkan di Vienna," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau berkata akan berlepas ke Vienna malam ini untuk menghadiri mesyuarat itu.

Pada Mei tahun lalu, Malaysia menyatakan komitmen untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 20,000 tong sehari, bersama-sama negara Opec lain untuk menstabilkan harga minyak global.

Harga minyak mentah merosot bawah paras AS$50 setong akhir bulan lalu.

Azmin berkata demikian ketika ditanya sama ada Belanjawan 2019 - yang menggunakan anggaran AS$70 setong - perlu disemak semula susulan kejatuhan harga minyak sejak Oktober.

Beliau berkata enggan membuat kesimpulan secara tergesa-gesa berhubung perkara itu.

"Seperti yang anda tahu, belanjawan berdasarkan harga AS$70 setong  dan harganya sudah jatuh," katanya.

Pada tahun ini, Amerika Syarikat menggantikan Arab Saudi sebagai pengeluar minyak terbesar selepas kemajuan teknologi membolehkan minyak syal dilombong.

Ia menyebabkan tekanan kepada harga minyak dan mengurangkan pengaruh Opec, yang sebelum ini mempunyai pengaruh kuat dalam soal harga minyak.

Lihat Komen
ADS