Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DBKL izin majlis kesyukuran Icerd
Diterbitkan:  Dec 3, 2018 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Raja, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata DBKL hanya membenarkan penganjur menggunakan Jalan Raja saja iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi perhimpunan dari pukul 2 petang hingga 6 petang.

“Kami menerima permohonan daripada penganjur yang terdiri daripada Muafakat (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia), Ummah (Gerakan Pembela Ummah), dan Daulat (Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia) saja pada 27 Nov lepas.

“Sepanjang perhimpunan kesyukuran itu berlangsung, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.... Jalan Raja serta padang Dataran Merdeka akan ditutup pada hari itu,” katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim di Kuala Lumpur hari ini.

Nor Hisham berkata pihaknya mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia bagi mengawal lalu lintas dan keselamatan awam.

“PDRM akan bermesyuarat pada Rabu ini bagi membincangkan secara terperinci mengenai perhimpunan itu,” katanya.

Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Icerd dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini diteruskan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memaklumkan parti itu akan menyertai perhimpunan berkenaan sebagai tanda terima kasih terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi Icerd.

- Bernama

Lihat Komen
ADS