Ganabatirau sahkan beri keterangan kepada polis isu kuil
Exco kerajaan Selangor V Ganabatirau hari ini mengesahkan yang beliau akan memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur perkauman berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Subang Jaya.
Ganabatirau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang negeri berkata beliau akan memberi keterangan berhubung isu itu pada 6 petang ini di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri.
"Saya sahkan akan dipanggil polis untuk diambil keterangan mengenai kenyataan saya berhubung insiden itu tempoh hari.
“Sepatutnya saya perlu hadir ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor tetapi disebabkan ada mesyuarat perlu dihadiri, polis akan datang ke pejabat saya petang ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam, hari ini.
Pada 26 Nov lepas, Ganabatirau melalui akaun sosial Facebook miliknya memuat naik status berhubung kekecohan yang berlaku di kuil berkenaan dengan mendakwa sekumpulan orang Islam telah menyerang kuil berkenaan.
Kenyataan beliau itu kemudian diselar pelbagai pihak termasuk PAS Selangor yang menyifatkan Ganabatirau cuba memainkan sentimen perkauman.
Semalam Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, kementeriannya akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat sesiapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan seumpamanya di negara ini.
Sebelum ini polis menjelaskan insiden kekecohan di kuil itu pada awal pagi Isnin dan Selasa lepas tiada kena mengena dengan perbalahan perkauman kerana ia sebenarnya menjurus kepada isu perpindahan kuil dari lokasi asal ke lokasi baru di Putra Heights, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tapak asal kuil.
-Bernama

