Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu mempunyai peruntukan yang menjamin hak polis mendapatkan bantuan perundangan sekiranya mereka didakwa melakukan kesalahan, kata bekas ketua polis negara Mohammed Hanif Omar.

Mohammed Hanif berkata, ketiadaan perincian seumpama itu menjadi salah satu sebab polis membantah penubuhan IPCMC ketika dicadangkan Suruhanjaya Diraja pada 2005.

"IPCMC perlu mempunyai kuasa penguatkuasaan dan juga pada masa yang sama tertakluk pada mahkamah. Saya fikir polis membantah (IPCMC) sebelum ini kerana ia mempunyai kuasa penguatkuasaan tapi ia tak beri hak untuk membuat rayuan.

"Perlu diberi ruang untuk membuat rayuan pada mahkamah. Penguatkuasaan di sini bererti mereka boleh menyiasat dan mendakwa... Sekiranya ada pensabitan, individu itu perlu diberi ruang untuk merayu.

"Jika orang awam lain boleh merayu, kenapa mereka (polis) tak boleh?" kata Mohammed Hanif kepada pemberita selepas sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas berhubung dakwaan bahawa majoriti laporan yang dibuat kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) adalah terhadap polis, Mohamed Hanif berkata, ia kemungkinan kerana penglibatan polis dengan orang awam.

"Polis lebih banyak terlibat dengan orang awam, jadi akan ada ramai yang tidak puas hati dengan polis," katanya.

September lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata IPCMC akan menjadi badan bebas yang lebih holistik.

Difahamkan bahawa keputusan untuk menukar EAIC kepada IPCMC dibuat selepas didapati banyak laporan dibuat kepada EAIC sebelum ini adalah berhubung salah laku polis.

Terdahulu, Mohammed Hanif yang merupakan presiden Institut Pengurusan Malaysia mengumumkan bahawa institut itu akan melancarkan program Siri Kepimpinan Dr Mahathir pada 19 Dis.

[Baca berita penuh]