Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan audit: BN umum bina 4,000 rumah, tapi tak pernah beri peruntukan
Diterbitkan:  Dec 3, 2018 7:15 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Menurut Laporan Ketua Audit 2017 Siri 2, pentadbiran lama di bawah BN sebelum ini mengumumkan pembinaan 4,000 rumah bagi generasi kedua penduduk di bawah program Felcra dan Risda namun tidak pernah menyediakan dana.

"Sepanjang Belanjawan 2016, pembinaan 2,000 rumah oleh Risda dan 2,000 rumah oleh Felcra diluluskan tanpa peruntukan," kata laporan itu.

Pengumuman berhubung pembinaan rumah itu dibuat Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2016 sebagai menteri kewangan Di Dewan Rakyat.

Pada tahun berikutnya, Belanjawan 2017 ang dibentangkan Najib juga menyatakan RM100 juta diperuntukkan masing-masing untuk Risda dan Felcra.

Bagaimanapun, kurang daripada separuh jumlah sasaran rumah yang berjaya dibina.

Laporan itu juga menyebutkan sasaran bagi 2016 dan 2017 adalah untuk Risda membina 500 rumah sementara Felcra membina 540 rumah, dengan kesemuanya berjumlah 1,040 unit rumah.

Bagaimanapun, hanya 351 rumah (33.7 peratus) yang berjaya dibina (88 unit di bawah Risda dan 263 unit di bawah Felcra), dan hanya 61 unit yang didiami.

Rumah itu menyasarkan generasi kedua peneroka yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM4,000 sebulan.

Laporan itu berkata, program yang diberi nama Rumah Bina Negara (RBN), menyaksikan "pengurusan yang lemah" dan tidak mampu membantu golongan berpendapatan rendah B40 kerana gagal mencapai sasaran rumah yang ingin dibina.

Laporan itu juga menyebut unit rumah yang siap juga berdepan pelbagai masalah seperti 140 unit di bawah Felcra tidak dapat dijual kerana infrastruktur yang tidak lengkap sementara 18 unit di bawah Risda yang dijual tidak didiami.

2,000 unit masing-masing di bawah Felcra dan Risda seharusnya disiapkan pada 2020, dengan kadar pembinaan 400 unit setahun bagi setiap agensi berkenaan.

Laporan Ketua Audit 2017 Siri 2 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS