Cadangan untuk membuka sempadan Malaysia - Thai 24 jam sehari di beberapa pintu di Kelantan tidak semudah yang dijangka, kata pegawai wilayah selatan negara itu.

Gabenor Narathiwat, Ekarat Lisen, berkata cadangan kerajaan Malaysia itu memerlukan kajian mendalam dan menyeluruh dengan memgambil kira pelbagai aspek khusus pengawasan dan kawalan, selain pembangunan infrastruktur lebih lengkap.

Melontarkan pendapat peribadi, katanya, kajian mendalam itu perlu dilakukan antara kedua-dua negara.

"Ia agak mencabar, keadaan di sempadan melibatkan kawasan ini berbeza dengan wilayah Sadao (yang bersempadan dengan Kedah) dalam aspek geografi dan kemudahan," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediaman rasminya selepas program Sukarelawan Diraja di Istana Thaksin Ratchaniwet, Narathiwat, Selasa lalu.

Terdahulu, Astro Awani pada 24 Oktober lalu melaporkan Malaysia dan Thailand setuju untuk membuka pintu sempadan 24 jam sehari demi menggalakkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Dalam lawatan ke Bangkok ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata langkah itu termasuk pembinaan dua jambatan merentasi Tak Bai di Pengkalan Kubor dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan.

Sementara itu Ekarat berkata, pembangunan yang menyeluruh perlu dibuat di kawasan terbabit dengan mengambil kira pengawasan dan penguatkuasaan bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

Katanya, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pengusaha hotel, penggiat industri pelancongan, peniaga dan penduduk kedua-dua negara.

"Jika bercadang nak buka sempadan 24 jam, kena tengok di Sadao, bandar tersebut sibuk dengan kemasukan kenderaan dari kedua-dua negara.

"Tetapi di sana pembangunan infrastrukturnya lebih lengkap dan lebih mudah dikawal, sebaliknya di sini ia dipisahkan dengan Sungai Golok yang lebih terbuka," katanya.