Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ubah' laporan 1MDB: PAC panggil Ambrin, Madinah
Diterbitkan:  Dec 3, 2018 9:55 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas ketua audit negara Ambrin Buang, Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad dan bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah berhubung dakwaan ‘mengubah’ laporan audit 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada 2016.

Pengerusi PAC Dr Ronald Kiandee berkata ketiga-tiga mereka akan dipanggil minggu ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

“Ambrin akan memberi keterangan kepada anggota PAC jam 11 pagi esok dan Madinah pula akan dipanggil menjadi saksi pada 5 hari bulan (Rabu) manakala Nafisah daripada Jabatan Audit pula pada 6 hari bulan (Khamis).

“Selepas itu, kami akan kenal pasti lagi beberapa saksi untuk dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri kedua di parlimen hari ini.

Pada 25 November lalu, Madinah dilaporkan mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB itu dikeluarkan atas arahan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan Najib Razak.

Ditanya sama ada PAC mempunyai tempoh tertentu untuk melengkapkan siasatan, Ronald berkata tiada tempoh masa ditetapkan kerana terdapat tiga kes sedang disiasat pihaknya ketika ini; dana bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai kira-kira RM18 bilion, projek marina awam dan siasatan semula isu 1MDB.

- Bernama

Lihat Komen
ADS