Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maszlee tak kata 1MDB masuk silibus sekolah, kata pegawai
Diterbitkan:  Dec 4, 2018 11:11 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Kementerian Pendidikan berkata isu 1MDB akan dimasukkan dalam sukatan pelajaran Sejarah di sekolah dilaporkan secara tidak tepat oleh sesetengah media.

Setiausaha Menteri Pendidikan Shahrul Aman Mohd Saari berkata semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam Dr Maszlee Malik hanya menjelaskan isu 1MDB hanya "akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia".

Katanya menteri terbabit langsung tidak menyebut kes 1MDB akan dimasukkan menjadi sebahagian daripada sukatan pelajaran Sejarah Malaysia.

"Laporan media yang memetik seolah-olah Maszlee mengatakan kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah Malaysia adalah tidak tepat," katanya.

Menurut Shahrul Aman, isu kemungkinan kes 1MDB menjadi sebahagian daripada sukatan pelajaran atau tidak terletak pada pertimbangan Jawatankuasa Kajian Kurikulum Kementerian Pendidikan.

"Justeru kerjasama media dipohon agar membuat pembetulan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Untuk rekod semalam Malaysiakini melaporkan kenyataan Maszlee itu tanpa mengaitkannya dengan mata pelajaran Sejarah, sebaliknya memetik penuh penjelasan anggota parlimen Simpang Renggam berkenaan.

"Saya boleh memberi jaminan bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia supaya generasi di masa depan tidak akan mengulanginya.

"Begitu juga dengan jenayah besar yang dilakukan ahli politik seperti menyamun (harta negara)," katanya. 

Shahrul Aman juga berkata dalam memperkayakan wacana intelektual Kementerian Pendidikan tiada halangan jika isu 1MDB menjadi kes kajian di institusi pengajian tinggi negara ini.

Lihat Komen
ADS