Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan akan bertindak menuntut semula ruang udara yang diwakilkan kepada negara di selatan Johor daripada Singapura secara berperingkat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan merancang untuk mengambil semula ruang udara secara beransur-ansur bermula akhir tahun 2019, dan berharap ia selesai pada tahun 2023.

“Pihak kerajaan Malaysia akan berbincang secara lebih terperinci dengan Singapura berkenaan rancangan mengambil balik delegated airspace di selatan Semenanjung Malaysia dan sekiranya perlu, akan merujuk kepada pihak ICAO untuk saranan selanjutnya,” kata Loke kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata Putrajaya telah memaklumkan kepada Singapura mengenai rancangannya pada 29 November lalu dan bahawa tuntutan semula itu perlu dilakukan secara berperingkat untuk menyelaras prosedur kawalan lalulintas udara di kedua-dua negara.

Ruang udara di selatan Johor telah diwakilkan kepada Singapura pada tahun 1974.

Sementara itu, Loke berkata Malaysia juga membantah rancangan Singapura untuk meningkatkan aktiviti atau laluan penerbangan di Lapangan Terbang Seletar.

Ini, katanya akan menjejaskan pembangunan di Pasir Gudang, Johor, serta mengganggu aktiviti perkapalan di Pelabuhan Pasir Gudang.

Singapura melaksanakan susulan penyiaran tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) Lapangan Terbang Seletar pada 1 Disember lalu menerusi Penerbitan Maklumat Aeronautika (AIP) dan akan berkuat kuasa pada 3 Januari tahun depan.

Loke berkata ini bertentangan dengan prinsip kedaulatan negara seperti yang diperuntukkan oleh Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

Beliau berkata Putrajaya melalui Wisma Putra, akan mengeluarkan notis bantahan ke Singapura.

Loke menjawab soalan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai sama ada kerajaan akan membantah rancangan peningkatan aktiviti penerbangan di Lapangan Terbang Seletar.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) menyokong pendirian Loke, namun mempersoalkan bagaimana bantahan Putrajaya akan memberi kesan kepada hubungan dengan Singapura, terutamanya berkaitan dengan projek pembangunan bersama seperti kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

Loke menjawab bahawa kedaulatan Malaysia tidak akan dikompromikan.

“Kita tak ambil pendekatan konfrontasi tetapi dalam isu ini soal pertahankan kedaulatan, ruang udara kita, ini perlu dipertahankan terutama di selatan Johor,” katanya.

Lihat Komen
ADS