Jumlah individu yang ditangkap berhubung beberapa siri rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya meningkat kepada 83 orang.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata individu berkenaan adalah penduduk tempatan yang dikaitkan dengan kekecohan dan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ25 pada 26 dan 27 November lalu.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Mazlan Mansor berkata, 68 orang ditangkap untuk membantu siasatan.

“Yang ditahan meningkat ke 83. Ini hingga ukul 8 pagi tadi. Kalau ada perkembangan, kita akan kemaskini lagi pukul 8 pagi esok supaya tak bercanggah.

“83 ini semua local (orang tempatan). Tindakan buru suspek-suspek sedang berterusan, mereka ini semua ada kaitan dengan insiden di kuil,” kata Fuzi pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Diploma Kepolisan dan Penyiasatan kepada pelajar Kolej Unikop di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur hari ini.

Insiden kekecohan pada awal pagi Isnin dan Selasa minggu lalu itu berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baru hingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang anggota polis cedera selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.