Himpunan Icerd: Kalau tak percaya PM, siapa lagi?
Anggota parlimen Padang Rengas Nazri Aziz hari ini menegaskan tidak akan menyertai himpunan membantah Icerd kerana beliau berpuas hati dengan keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meratifikasi konvensyen itu.
"Saya tidak akan hadir. Saya fokus dengan apa yang saya mahu daripada kerajaan, iaitu menarik semula keputusan untuk meratifikasi, dan mereka sudah melakukan ini. Saya puas hati.
"Kalau kita tidak boleh percaya perdana menteri, siapa lagi yang kita boleh percaya?" katanya pada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Bagaimanapun, Nazri yang merupakan setiausaha Agung BN menjelaskan ia merupakan pendirian peribadinya.
Pada 27 Nov lalu, tiga NGO - Gerakan Pembela Ummah, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, dan Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia - menyerahkan permohonan untuk mengadakan himpunan itu kepada DBKL.
Penganjur sebelum ini memberi gambaran bahawa himpunan itu yang mendapat sokongan Umno dan PAS akan diteruskan meskipun kerajaan sudah mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd.
Jelas penganjur, himpunan itu diadakan sebagai tanda kesyukuran dan memastikan tiada lagi percubaan untuk meratifikasi konvensyen berkenaan di masa hadapan.

