Menteri Pendidikan Maszlee Malik membentangkan pindaan terhadap tiga akta bagi membolehkan pelajar universiti mengambil bahagian dalam aktiviti parti politik.

Pindaan berkenaan adalah terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (Auku), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib).

Selain membenarkan pelajar aktif dalam politik, rang undang-undang itu juga akan mengenepikan tindakan disiplin terhadap pelajar yang yang terlibat dalam aktiviti politik.

[Berita lanjut menyusul]

Sementara itu, Bernama melaporkan rang undang-undang (RUU) mencadangkan pindaan terhadap tiga akta yang akan memberikan pelajar institusi pendidikan tinggi lebih kebebasan dalam penglibatan politik, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Akta tersebut ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

Ketiga-tiga rang undang-undang itu bertujuan meniadakan larangan ke atas pelajar institusi pengajian tinggi untuk terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.

Ini bermakna, jika ia diluluskan, hak mereka untuk menyertai aktiviti parti politik di dalam kampus tidak lagi akan disekat.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang membentangkan kesemua rang undang-undang berkenaan untuk bacaan kali pertama berkata bacaan kali kedua untuk kesemuanya akan diadakan pada mesyuarat Dewan Rakyat yang sama.