Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan tidak kisah menjadi warganegara kelas kedua di Malaysia jika beliau dapat "mengawal" Kuala Lumpur dan Seremban.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata demikian sebagai menolak dakwaan pentadbiran BN dahulu mendiskriminasikan kaum-kaum lain.

Sebaliknya, kata Mohamad orang Melayu yang sepatutnya bersuara.

“Cuba kita tengok siapa yang ramai jadi akauntan bertauliah, jurutera dan arkitek.

"Cuba tengok di Bukit Bintang siapa punya premis perniagaan.

"Saya tak kisah jadi warganegara kelas dua kalau saya kawal Kuala Lumpur atau Seremban. Sepatutnya orang Melayu yang bising, tapi dia pula bising," katanya, petik laporan Umno-online.

Selanjutnya Mohamad berkata terdapat ramai golongan profesional dan jutawan daripada kalangan bukan Melayu.

Tak gentar hadapi DUN Rantau

“Ramai profesional di negara ini bukan Melayu, jutawan di negara ini ramai bukan Melayu. Begitu juga pegangan hartanah komersial, orang Melayu sekadar di kampung, tanah adat itu pun terpaksa berkongsi,” katanya.

Mohamad menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk berhenti menyalahkan BN dan memfokuskan usaha mentadbir negara.

Beliau mendakwa rakyat gelisah mengenai keadaan ekonomi dan kestabilan politik sejak pilihan raya umum ke-14 kerana tiada parti tunggal yang menguasai kerajaan berbanding sewaktu BN memerintah dahulu.

Mengulas pilihan raya semula DUN Rantau, Mohamad tidak gentar menghadapinya.

"Saya tak takut menghadapi pilihan raya. Malah saya sendiri ralat kerana tak dapat bertanding dalam PRU-14 dulu, secara mentalitinya saya sudah bersedia.

“Saya yakin orang Rantau boleh buat pertimbangan waras. Di Negeri Sembilan kena ada pembangkang untuk semak dan imbang kerajaan. Rakyat perlu beri mandat kepada Barisan Nasional (BN) kerana jika tidak, kerajaan akan buat sewenang-wenangnya,” jelasnya.