Lynas harus meneruskan permohonannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan di Australia untuk menghantar balik kesemua sisanya sebelum tempoh lesen penstoran untuk jenis sisa itu tamat pada September 2019.

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata sebuah syarikat yang bertanggungjawab, tidak akan membiarkan jumlah sisanya yang begitu banyak seperti yang dilakukan oleh Lynas, distorkan dengan cara yang begitu cuai dan berisiko.

“Sejak memulakan operasi pada akhir 2012, Lynas telah menjana sejumlah besar buangan yang telah disimpan di premis penapisannya di Gebeng.

“Akibatnya, bahan buangan, baik dari aliran radioaktif dan toksik yang dikenali sebagai water leached purification (WLP) mahupun aliran bukan radioaktif yang diklasifikasikan sebagai sisa terjadual, telah dikumpulkan oleh loji penapisan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sebagai mengulas laporan daripada Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Material Plant (LAMP) yang dikeluarkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin hari ini.

Lynas katanya, telah diberi peluang, kebebasan dan masa lebih tujuh tahun bagi mencari penyelesaian yang selamat dan realistik untuk sisanya namun Lynas secara berterusan enggan mengakui bahawa sisa WLP-nya berbahaya.

Guna rakyat jadi tikus makmal

Sebaliknya Fuziah berkata Lynas sengaja mengehadkan perdebatan kepada risikonya yang konon terkawal sambil sengaja mengelakkan masalah sebenar dalam percubaannya untuk menepis penentangan awam terhadap operasinya.

“Kerajaan PH tidak akan membenarkan Lynas menggunakan rakyat kita sebagai tikus makmal. Tanah air kita yang indah tidak harus dijadikan medan percubaan Lynas untuk menguji produk sampingan yang tercemar.

"Australia adalah sebuah negara yang luas dan besar. Keperluan guna tanah di Malaysia semakin menekan kerana jumlah penduduk negara kita semakin berkembang.

“Lombong Lynas di Mt Weld di Western Australia terletak di kawasan hampir gurun yang jarang penduduknya. Lubang lombong Lynas yang besar di sana wajib diisikan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yeo atas keberanian dan komitmennya untuk menegakkan manifesto PH dengan mengutamakan kesihatan awam dan alam sekitar selain berterima kasih kepada Jawatankuasa Eksekutif untuk menyelesaikan usaha yang sebesar ini dalam ruang waktu yang sempit.

- Bernama