Lynas perlu menyediakan kemudahan pelupusan kekal (PDF) bagi sisa buangannya Water Leached Purification Residue (WLP), saran laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) yang terbit hari ini.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu berkata sekiranya lokasi itu tidak dapat dikenal pasti atau diluluskan pihak berkuasa, maka Lynas perlu membawa sisa buangan berkenaan keluar dari Malaysia.

“Perkara ini perlu dilakukan tanpa menunggu hasil kajian ke atas pengkitaran semula (sisa WLP yang sedang dilakukan) kerana mengambil kira risiko peningkatan residu terkumpul di tapak terdedah kepada ancaman akibat perubahan cuasa dan bencana alam akibat perubahan iklim.

"Pihak Lamp perlu bersedia membawa keluar residu WLP dari Malaysia sekiranya lokasi PDF tidak dikenalpasti atau diluluskan," kata laporan itu merujuk kepada komitmen yang diakui pihak Lynas Corporation Ltd Australia dan Lynas Malaysia Sdn Bhd dalam isu tersebut pada awal permulaan operasi.

Laporan turut menyatakan operasi LAMP adalah berasaskan teknologi dan prosedur terkawal dengan risiko rendah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah akta-akta utama antaranya Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984, Akta Kilang dan Jentera 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Penyelarasan Perindustrian 1975.

Sementara itu, kerja saringan tapak bagi tujuan itu perlu dibuat sebelum pembaharuan lesen yang mana lesen sedia akan tamat pada 2 September 2019, kata saranan yang terkandung dalam laporan penuh jawatankuasa yang ditubuhkan ekoran kontroversi operasi LAMP di Gebeng di Kuantan.

Pemeriksaan rapi berkala saring kanser

Jawatankuasa tersebut juga mengesyorkan supaya satu jawatankuasa pemantuan ditubuhkan dengan keanggotaannya diperluaskan termasuk kepada kementerian berkaitan, pakar bidang terlibat dan wakil masyarakat setempat serta pihak LAMP sendiri.

"Industri berteknologi tinggi menggunakan NORM (bahan radioaktif semulajadi) merupakan industri yang akan berkembang pesat di masa hadapan. Oleh demikian, jawatankuasa ini menyarankan kerajaan melihat perkembangan industri ini secara holistik," menurut laporan itu.

Laporan itu menambah LAPM bagaimanapun masih perlu mengambil langkah-langkah tambahan dalam pengendalian sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) yang merupakan sisa pepejal yang mengandungi NORM, bagi kelestarian pemeliharaan komuniti dan alam sekitar.

Selain WLP, operasi LAMP yang bermula sejak 2012 juga menghasilkan sisa Neutralization Underflow Residue (NUF) yang dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual yang mana pengurusannya dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar.

Jawatankuasa yang dianggotai enam pakar dan saintis itu juga mendapati pendedahan pekerja kepada hazad radiasi dan bukan radiasi adalah di bawah tahap yang dibenarkan sepanjang LAMP beroperasi dan tiada berlaku sebarang kelainan dalam status kesihatan pekerja, namun sebagai langkah penambahbaikan pemeriksaan lebih rapi dan berkala seperti saringan kanser perlu dilakukan kepada pekerja radiasi.

Penubuhan jawatankuasa eksekutif itu diumumkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pada 15 Okt lalu.

Ia melibatkan enam anggota - Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Mazlin Mokhtar; Profesor Pelawat United Nations University – International Institute for Global Health Prof Dr Jamal Hisham Hashim; dan Pengarah Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Maketab Mohamed.

Selain itu, Prof Madya Dr Anita Abdul Rahman dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Perubatan Universiti Putra Malaysia; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Alam Universiti Malaysia Pahang Prof Madya Dr Muzamir Hasan; dan bekas Pengarah Bahagian Udara dan Bahan Merbahaya Jabatan Alam Sekitar Malaysia Che Asmah Ibrahim.

Mereka bertanggungjawab menjalankan penilaian operasi LAMP meliputi aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar secara objektif, telus dan terbuka demi kepentingan semua pihak di mana prosiding jawatankuasa itu turut dibuka kepada orang awam sebagai pemerhati.