Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru agensi-agensi yang terlibat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) supaya melakukan kerja dan tugas dengan rapi supaya ia dapat mencetuskan kebaikan kepada negara dan membawa rakyat ke mercu kejayaan.

Sambil menghargai peranan dimainkan oleh beberapa agensi seperti Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Jabatan Perkhidmatan Awam, Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Perancang Ekonomi Perdana Menteri berkata usaha lebih giat perlu dibuat untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan sektor awam.

Beliau berkata sektor awam khususnya perlu mengambil iktibar daripada pelbagai peristiwa dan pandangan yang dibuat terhadap mereka supaya boleh dijadikan panduan untuk menbaiki mutu perkhidmatan.

Perdana Menteri berkata demikian pada perhimpunan bulanan warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pag ini. Ini merupakan pertemuan pertama beliau dengan sektor awam pada tahun baru ini sejak kembali dari bercuti.

Menurut beliau lagi, terlalu banyak berita tersiar di akhbar mengenai keadaan dan kedudukan perkhidmatan kerajaan termasuk mengenai sistem penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata terdapat juga berita yang membincangkan mengenai kedudukan persaingan negara dan ukuran-ukuran yang dibuat dalam menentukan tahapnya.

Pengalaman pahit

"Anggaplah ini (berita pencapaian sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dan kedudukan persaingan negara) ini satu petunjuk untuk kita beri perhatian yang serius, untuk kita tingkatkan lagi kecekapan, mutu dan produktiviti kerja kita," katanya.

Abdullah juga mengajak rakyat mengambil pengajaran daripada apa yang ditempuhi sepanjang tahun 2005 dan jadikan ia sebagai iktibar untuk memperbaiki lagi kehidupan.

Perdana Menteri berkata rakyat, yang rata-ratanya glolongan pekerja, wajar mengambil pengajaran daripada apa yang mereka lalui walaupun ianya kadang-kadang amat pahit untuk diterima, menyusahkan dan penuh cabaran.

"Ada orang mengatakan pengalaman yang lalu, yang menyedihkan perlu dilupakan, tapi jika ia dilupakan ia tidak akan jadi pengajaran," Abdullah berkata belajar daripada pengalaman adalah cara paling berkesan untuk memperbaiki lagi kehidupan termasuklah pengalaman yang kadang-kadang menyusahkan, menyedihkan dan memberikan cabaran yang besar.

"Jika berlaku kemalangan kepada ahli keluarga, juga menjadi pengajaran. Adakah kita mengetahui faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan dan adakah kita menasihati anak-anak kita supaya berhati-hati di jalan raya," katanya.

Perhimpunan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman.