Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohd Amar tak dapat hadir himpunan bantah Icerd kerana pergi umrah

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan beliau tidak dapat turut serta menjayakan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), Sabtu ini.

Ini demikian kerana, beliau dijadualkan akan ke Makkah Jumaat ini bagi menunaikan ibadah umrah.

"Saya akan menunaikan umrah pada 7 Disember," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini, ketika ditanya berhubung perkara itu.

Terdahulu, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 9 Disember bersempena perhimpunan yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka Kuala Lumpur itu.

Untuk rekod, penganjur himpunan iaitu Gerakan Pembela Ummah sebelum ini memberi gambaran bahawa himpunan itu yang mendapat sokongan Umno dan PAS akan diteruskan meskipun kerajaan sudah mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd.

Jelas penganjur, himpunan itu diadakan sebagai tanda kesyukuran dan memastikan tiada lagi percubaan untuk meratifikasi konvensyen berkenaan di masa hadapan.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, pihaknya mensasarkan seramai 100,000 penyokong PAS negeri itu akan hadir pada himpunan berkenaan.

Katanya, seramai 10,000 anggota Jabatan Amal PAS akan ditugaskan di lokasi himpunan supaya ia berjalan dengan lancar.

“Kita menasihatkan penyokong PAS supaya jaga ketenteraman dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi.

“Insya-Allah himpunan berjalan lancar dengan bantuan semua pihak. Kenderaan dari Kelantan ada yang ditaja dan ada penyokong pergi sendiri," jelasnya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Lihat Komen
ADS