Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 6,500 premis makanan diarah tutup hingga September
Diterbitkan:  Dec 5, 2018 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

PARLIMEN l Sebanyak 6,562 premis makanan diarah tutup kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan susulan pemeriksaan yang dilakukan bagi tempoh 2016 hingga September lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata 369,298 premis makanan di seluruh negara diperiksa dalam tempoh itu.

“Dalam tempoh masa sama, 51,921 notis bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 diserahkan kepada pengendali atau pengusaha premis makanan yang tidak mematuhi mana-mana keperluan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff yang ingin tahu langkah yang diambil kementerian terhadap pengusaha premis makanan yang tidak mematuhi garis panduan kebersihan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan.

Dr Lee berkata sebagai langkah proaktif, kementerian itu telah melaksana pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat atau ‘BeSS’ mulai 2013 sebagai galakan kepada pengusaha premis makanan.

“Sejak 2013 sehingga Oktober tahun ini, 5,571 premis makanan telah mendapat pengiktirafan BeSS ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS